Soalan 1:
Apakah kenangan termanis Naib Presiden sekalian bersama Allahyarham ustaz Hassan Shukri?
TITM: Ustaz Hassan adalah arkib bergerak dalam PAS. Banyak peristiwa manis yang menggamit ingatan apabila mengenangkan beliau.
Beliau adalah pemegang amanah sejarah PAS, banyak peristiwa manis yang terpahat dalam ingatan. Satu hari beliau menceritakan bilamana lambang PAS, bulan dan bintang diharamkan oleh pihak kerajaan. Pengharaman lambang dibuat menjelang pilihanraya umum pada waktu itu.
Beliau menceritakan bagaimana pimpinan waktu itu mengadakan perbincangan tidak rasmi memikirkan apakah lambang yang sesuai; dia menceritakan bagaimana sambil-sambil mesyuarat beliau telah membalikkan gelas yang ada dihadapannya, sambil membuat bulatan mengikut gelas tersebut.
Kemudian beliau membuat bingkai empat persegi tepinya, dan melorek pelbagai warna, mulanya bulatan kuning, luar merah; ada yang dibuat bulatan merah, luarnya kuning, bulatan hijau, luarannya putih, dan bulatan putih, luarannya hijau…. yang akhirnya diterima.
Kata beliau pada awalnya bukanlah bermaksud bulatan itu bulan, tetapi ianya adalah bulatan melambangkan perpaduan dan sepakat… yang kemudiannya menjadi bulan penuh purnama.
Hari ini ‘bulan purnama’ tersebut terus berkembang menerangi seluruh negara; semoga Allah menerangi kuburnya sebagaimana terangnya bulan purnama. Amin.
SA: Saya rasa (kenangan) yang paling manis bersama beliau ialah satu waktu dahulu awal 80-an di peringkat saya masih baru bersama PAS, beliau selaku Setiausaha Agung PAS telah memberikan satu nasihat kepada saya.
Nasihat ini saya ingat sampai hari ini… iaitu beliau mengatakan bahawa kalau ingin terus bersama dengan PAS dan perjuangan Islam mesti ada 2 perkara… iaitu ikhlas dan sabar.
Dan beliau pun memupuk bahu saya sambil berkata, “Kalau ini ada pada kamu, kamu akan menjadi pemimpin PAS satu hari nanti.”
Saya sungguh ingat nasihat itu sampai hari ini.
MO: Sejak saya menjadi ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat sehingga lah saya menjawat jawatan Naib Presiden PAS, markas tarbiah Taman Malewar adalah rumah kedua tempat tinggal saya apabila berada di Kuala Lumpur.
Ini lah yang menjadikan hubungan kami begitu rapat kerana rumah Allhyarham bersebelahan dengan markas.
Suatu peristiwa yang bagi saya kemanisan dalam perjuangan bilamana arwah mengajak saya menyapu dan membakar sampah di sekitar markas.
Di sinilah, saya dapat melihat pada diri arwah sebagai seorang pemimpin tertinggi parti yang bersedia menurunkan ego diri seorang pemimpin untuk melakukan kerja-kerja buruh kasar dengan hanya berkainkan sarung untuk memastikan kebersihan dan keceriaan Markas PAS Taman Malewar.
Arwahlah yang banyak mendidik saya untuk menjadi pemimpin marhain. Ungkapan nasihat yang sering diungkap beliau ialah pengurusan cawangan dan pertambahan ahli. Inilah yang menunjuk arwah seorang pemimpin yang berjiwa bawahan dan mengutamakan akar umbi parti.
“Ustaz! Terima kasih atas tunjuk ajar dan bimbingan ustaz untuk saya dan rakan rakan meneruskan cita cita dan harapan Ustaz.
”Moga Ustaz dicucuri rahmat Allah dan bersemadi bersama orang-orang yang solleh dan ditempatkan di istana Syurga Allah. Al-Fatehah.”
Soalan 2:
Semasa muda, apakah pekerjaan pertama naib presiden sekalian? Apakah faktor utama yang mendorong naib presiden sekalian untuk bergiat sepenuh masa bersama PAS? Apakah pengalaman pahit yang dialami naib Ppresiden sekalian ketika mula-mula bersama PAS?
MO: Saya hidup di suasana kampung dan sawah padi… sudah tentu tak dapat lari daripada mencari pendapatan dengan mengambil upah kerja kerja sawah, seperti memukul padi dan menarik padi dari bendang ke kilang dengan mengguna gerek (basikal) tua.
Ahli PAS di cawangan-cawangan kampung lah yang mendorong untuk saya aktif sepenuh masa. Saya berfikir kalau mereka boleh lakukan kenapa tidak saya di samping parti yang sentiasa bersifat terbuka untuk menerima kehadiran tenaga baru dalam PAS.
Pengalaman pahit saya ialah sewaktu berkempen rumah ke rumah dalam pilihanraya 1982 di Sungai Nibong Pulau Pinang dalam membantu Allahyarham Haji Yusuf Rawa calon DUN Sungai Nibong apabila kena “ligan” (kejar) dengan UMNO…
TITM: Pekerjaan masa muda (sekarang pun masih muda, kecuali Mahfuz je berumur sedikit), dulu saya bertugas sebagai Pensyarah di ITM masa itu, sekarang dikenali dengan UiTM.
Selama 14 tahun menjadi pensyarah, saya bertugas di tiga kampus, ITM Perak , Kuantan dan Jengka.
Tahun 1999, saya meletakkan jawatan sebagai pensyarah kanan pada waktu itu dan juga ketua Unit Pendidikan Islam. Setelah melepaskan jawatan pada bulan Ogos, saya terus bertanding dalam PRU ke 10 dan Alhamdulillah, saya menang di DUN Jengka. Di situlah, bermulalah kerjaya sebagai ahli politik sepenuh masa.
Kenangan yang menarik semasa ingin meletakkan jawatan, saya beristikharah, memohon pertunjuk dari Ilahi; solat dan satu malam setelah niat solat istikharah saya bermimpi…
Saya sedang memandu kereta melalui satu persimpangan empat. Saya berhenti kerana lampu isyarat merah, setelah lampu hijau saya nak jalan, tiba-tiba ada dinding tinggi sampai ke langit yang menghalang saya daripada terus pergi ke depan.
Tiba-tiba ada suara dari atas memberi tahu “kamu tidak boleh lalu, kerana kamu tidak biasa”… lalu saya terus terjaga.
Pada keesokan hari, saya bertanya kawan-kawan apakah makna mimpi itu, semua mengatakan tak payah masuk politik lagi, kerana jalan ini saya tidak biasa.
Saya kemudian pergi berjumpa dengan Mursyidul Am untuk bertanya tentang mimpi itu, beliau mengatakan “kena lalu, baru biasa”. Itulah kehebatan taabir beliau, saya kemudiannya menyerahkan surat perletakan jawatan 24 jam kepada ITM dan membayar sebulan gaji.
Setelah menang kita ada elaun untuk menjaga DUN dan belanja seharian. Bilamana tewas dalam PRU ke 11, satu hari saya ke bank untuk mengambil duit belanja, apabila masuk je ATM, rupanya baki hanya ada RM12.30 sen…
LALU saya teringat kata-kata guru saya “Langit bumi yang besar berat ini pun Allah boleh jaga, takkan kamu yang kecil ini Allah akan biarkan…”
SA: Saya bertugas sebagai seorang pegawai di sebuah bank di Pontian. Saya telah mengalami suatu perasaan yang tidak menentu sewaktu bekerja di bank untuk 2 tahun.
Perasaan tak menentu macam jiwa saya seolah-olah mencari suatu ketenangan dan suatu panduan yang saya ingin keluar daripadanya. Selepas itu saya berjumpa dengan seorang guru sekolah, saudara Hanizi Mohammad yang memperkenalkan PAS kepada saya.
Tidak beberapa lama kemudian, mungkin dalam masa beberapa bulan, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan terus bersama PAS sehingga hari ini.
Orang-orang kampung saya mengatakan saya sudah hilang fikiran, sehingga dikatakan saya disihir oleh orang-orang sesat dan orang-orang PAS – dan keluarga saya turut mula membantah dan menentang perjuangan saya. Isteri saya turut sama menerima tekanan yang cukup hebat daripada keluarganya. Masa itu saya baru berumur 24 tahun.
Soalan 3:
Jika naib presiden bertiga tidak ditaklifkan untuk memegang jawatan sebagai naib presiden, dan sekadar bergiat aktif di cawangan, cawangan PAS mana yang menjadi pilihan dan jawatan apa yang menjadi pilihan serta nyatakan sebab musababnya bersetuju untuk memegang jawatan tersebut?
SA: Saya ingin menumpukan pada bidang penulisan dan pendidikan dalam PAS. Saya rasa sejarah PAS ini terlalu sedikit orang yang menulisnya.
TITM: Kalau diberi peluang saya sukakan cawangan saya Semarang, cawangan bandar Jengka dalam Dun Jengka. Kesungguhan sahabat membuat kerja dan kemesraan (mereka di) Sangay membanggakan.
Dan kalau ditanya apakah jawatan yang saya minat dalam PAS, saya rasa Ketua Cawangan Sangay menarik, kerana semua pimpinan selalu dan mudah berjumpa, dan senang merancang kerana kawasan yang tidak luas sangat.
Namun kekadang kita terpaksa menerima lebih dari apa yang kita inginkan. Semoga bebanan ini tidak menyusahkan saya di hari akhirat.
MO: Kita harus bersedia untuk satu hari berjuang tanpa jawatan. Apabila diberi jawatan itu peluang untuk kita buat pahala, kalau tidak diberi jawatan itu meringankan beban yang dipikul. Kalau diberi pilihan sudah tentu saya nak bergerak di kampung kelahiran saya Titi Gajah.
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi
-
* KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali
kubur diri mereka sendiri.”
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...
1 year ago












No comments:
Post a Comment