Saturday, November 28, 2009

PERUTUSAN EIDUL ADHA 1430H - YDP KAWASAN PUCHONG

Bismillah walhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah wa'ala alihi wasahbihi wa man walah..

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahil hamd.

Dalam kesibukan menjalani kehidupan, diam tak diam Eidul Adha kembali lagi bertemu kita pada tahun ini. Eidul Adha mengingatkan kita kembali kepada sejarah perjuangan dua anak beranak, Nabi Ibrahim dan Ismail a.s yang menjadi lambang dan sejarah perngorbanan yang unggul dan sejati.

Sebagai misal, Nabi Ibrahim bukan sahaja berhadapan dengan penentangan kerajaan dan kaumnya yang kafir, malah lebih hebat daripada itu terpaksa juga berhadapan dengan ayahnya yang dikasihi. Sesudah itu terpaksa pula menerima arahan Allah Rabbul Jalil membawa keluarganya yang dikasihi ke bumi yang kering kontang, lalu diarahkan pula meninggalkan mereka di situ. Kemuncaknya, sesudah lama meninggalkan keluarganya dan kembali semula di tempat baginda meninggalkan mereka itu. Saat kasih sayang yang sudah lama terputus mula bertaut, Allah menduga pula dengan arahan yang maha hebat, anaknya Ismail a.s perlu dijadikan korban.

Bayangkan berapa banyak pengorbanan yang perlu dilakukan Nabi Ibrahim. Maka amat benarlah wahyu dari langit yang memuji baginda "Dan barangsiapa yang membenci ajaran Ibrahim, maka dia hanyalah membodohkan dirinya sahaja. Sesungguhnya kami telah memilihnya [Ibrahim] di dunia [menjadi Nabi dan Rasul], dan dia pada hari Akhirat tergolong di kalangan orang-orang yang soleh"..al Baqarah. Baginda terpaksa mengorbankan keluarga dan kaumnya, bangsa dan tanahair, jiwa dan perasaan, segala-galanya hanya kerana mahu menjunjung perintah dan arahan Allah Ta'ala.

Maka dalam perjuangan Islam yang sama-sama kita telusuri hari ini, ianya tetap berkehendakkan pengorbanan. Pengorbanan dalam suasana dan waqi' hari ini boleh dilakukan dalam banyak hal dan keadaan. Ada orang boleh memberi pengorbanan melalui infaqnya ke jalan Allah, ada orang yang berkorban untuk Islam dengan tulang empat keratnya, dan bermacam lagi. Apapun yang pasti, pengorbanan yang dilakukan dengan syarat mestilah ikhlas dan tidak bercanggah dengan syara' pastinya akan diberi ganjaran oleh Allah.

Untuk berkongsi sedikit pengalaman, saya sepanjang hari ini telah dibawa oleh pelajar-pelajar Al Azhar di Mesir melawat beberapa tempat bersejarah di sini. Antara yang menarik bagi saya, dalam perjalanan hendak menunaikan Solat Asar di Masjid Sultan Hassan, kami melalui satu kawasan yang dikenali Kubu Salahuddin Al Ayyubi. Kubu yang berdiri gagah sampai ke hari ini, tidak dibina atas impian, cita-cita dan angan-angan sahaja. Kubu ini telah menjadi saksi atas pengorbanan Salahuddin al Ayyubi dan bala tentera Islam yang tercatat dalam sejarah sebagai orang yang merampas mengembalikan semula tanah suci Baitul Maqdis ke tangan umat Islam. Kejayaan sebesar itu sudah pasti berkehendakkan tidak sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan.

Justeru itu, saya mengambil kesempatan EidulAdha ini untuk mengajak diri saya sendiri terlebih dahulu, dan kemudiannya semua para sahabat seperjuangan di Puchong khususnya untuk sama-sama kita meningkatkan pengorbanan kita dalam kerja-kerja Islam, menghindari perselisihan yang dicela agama, merapatkan ukhuwwah dan menjaga keberkatan dalam berjamaah ini. Tak lupa juga penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang korban, zakat dan infaq yang diamanahkan pada saya untuk pelajar-pelajar kita di sini.

Sekian,

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar, walillahil hamd.

MUHAMMAD SUFYAN BIN ISMAIL
YDP PAS PUCHONG
Kaherah, 12.25 mlm 

Selangor lindungi penjawat awam dari brainwash BTN

Dalam usaha melindungi penjawat awam Selangor dari tarbiyah ekstrem Biro Tata Negara, kerajaan negeri menghentikan penyertaan pegawai agensi kerajaan negeri dan penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri dari menyertai kursus biro itu.

Exco Pendidikan Dr Halimah Ali berkata keputusan ini berkuatkuasa serta merta hari ini selepas siasatan mendapati tarbiyah yang diterapkan BTN mengajak kepada perpecahan dan ketegangan kaum.

“Mereka yang telah melalui kursus Biro Tata Negara ini kebanyakannya adalah satu proses indoktrinasi oleh Kerajaan Barisan Nasional dan ia menimbulkan satu fenomenan yang agak perkauman, di mana ia seolah-olah ingin memecahbelahkan di antara penduduk-penduduk yang pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini”, jelas Dr Halimah.

Terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, BTN menawarkan kursus bina jati diri kepada penuntut universiti dan penjawat awam.

BTN diwujudkan bagi menanam semangat cintakan negara, namun umum kini melihat biro itu tidak lebih dari unit propaganda BN.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN.

Bercakap dari pengalamannya sendiri, Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peserta kursus diajar mengenai Ketuanan Melayu, PKR ejen Yahudi, DAP proksi Singapura dan Pas gerakan ajaran sesat.

Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

“Kita akan memberikan satu surat arahan formaliti kepada institusi-institusi yang telah saya sebutkan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor bersama dengan IPT tentang perkara yang saya sebutkan tadi”, tegasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)


sumber: http://greenboc.blogspot.com/



saya teringat semasa minggu orientasi yang dianjurkan oleh BTN sewaktu belajar di  US dulu, kami diminta untuk menghafal lagu anak kecil main api sehingga sebati dalam diri.

http://www.youtube.com/watch?v=LnksF6G_77A

Sunday, November 22, 2009

Wacana Intelektual Wanita & Kem Penghayatan Sains Dan Islam

salam
Pada waktu ini sedang berjalan 2 program besar iaitu Wacana Intelektual Wanita di mana pengarahnya adalah Ketua Muslimat DMPK Puchong iaitu Puan Noor Hanim Ismail dan Kem Penghayatan Sains Dan Islam yang di adakan di Kem Sri Raudhah Gombak.  Di doakan 2 program ini berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif yang telah dirangka, insyaallah.


OBJEKTIF

1. Mengembelingkan daya wanita intelek dalam memacu modal insan.
2. Menyatukan dan menyelaraskan pelbagai gerakan wanita yang wujud di Malaysia.
3. Menganalisa isu-isu dan perkembangan usaha-usaha golongan wanita dalam membina kekuatan intelektual dikalangan wanita di Malaysia.
4. Menyusun pelan strategik baru yang sesuai dengan cabaran wanita hari ini.

ANJURAN

Anjuran EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan

TEMA
WANITA INTELEK PEMANGKINAN TAMADDUN UNGGUL

TARIKH
22 November 2009 (Ahad)

TEMPAT
Perpustakaan Negeri Selangor



Dengan tema "BRIDGING ISLAM & SCIENCE TOGETHER", objektif kem ini diadakan ialah untuk:

* Menyedarkan pelajar tentang hubungkait Al-Quran dan sains.
* Menginsafi bahawa kejadian alam terjadi dengan kuasa Allah S.W.T.
* Menghayati sunnah Rasulullah S.A.W. dalam aspek sains kehidupan.
* Memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan aktiviti pembinaan jati diri dan

elemen-eleman kerohanian untuk para pelajar sekolah. 


Tempat: Kem Sri Raudhah Gombak
Tarikh: 21 & 22 Dis 2009
Masa: 8:30pg (21/12) - 3:00ptg (22/12)

Monday, November 9, 2009

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk


SHAH ALAM, 8 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.

5 Resolusi Seminar Dapat Memperkukuhkan Parti


 
KUALA LUMPUR, 7 Nov: Selepas seminar berakhir, PAS yakin parti itu akan semakin kuat dan bertekad akan lebih proaktif dalam memperkukuhkan parti dan juga Pakatan Rakyat PAS memandang serius dan akan mengambil tindakan segera di peringkat dalaman parti terhadap lima resolusi yang dicapai dalam seminar pemerkasaan parti yang diadakan.

Seminar politik memperkasakan PAS yang dihadiri oleh peserta daripada seluruh negara siang tadi meluluskan lima resolusi hasil perbahasan daripada perwakilan dari setiap negeri, sayap-sayap parti serta kelab penyokong PAS.
  • PAS secara lebih proaktif akan memperkukuh Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.
  • PAS melalui dewan pemuda dan Nisa' juga akan berusaha menarik kembali sokongan pengundi muda yang dilihat sedikit terjejas disebabkan beberapa faktor agar memberi undi mereka kepada PAS.
  • PAS juga mahu bertindak lebih agresif untuk mengaktifkan kelab penyokong PAS di setiap kawasan terutama di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Islam yang ramai.
  • PAS bersetuju untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi selain menguatkan parti di peringkat akar umbi.
  • menyediakan satu pelan tindakan untuk menguatkan parti antaranya memperkasakan kempen nasional iaitu PAS For All.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan seminar sehari itu sebagai berjaya apabila seluruh perwakilan menggunakan kesempatan yang ada untuk melontarkan pandangan dan kritikan untuk meningkatkan prestasi parti.

Bercakap dalam sidang media selepas selesai seminar berkenaan, Hadi turut berkata, seminar yang diadakan itu membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka dan demokratik apabila membenarkan segala kritikan dilontarkan."Alhamdulillah kita telah berjaya mengadakan satu seminar menghimpunkan jentera parti yang datang dari seluruh negara kerana keterbukaan PAS secara demokratik,"

"Bukan sahaja membenarkan dalaman parti untuk mengkritik secara membina bahkan kita menerima teguran dari tokoh luar yang bukan dari kalangan kita."Hari ini kita telah menunjukkan jiwa yang sangat besar apabila perwakilan dari seluruh negara telah berjaya melakukan perbincangan secara terkawal,"katanya kepada lebih 50 wakil media yang hadir.

Hadi turut mengulangi pendiriannya untuk memperkukuh kedudukan parti bersama Pakatan Rakyat bagi menghadapi segala cabaran yang akan datang.

"Kita (PAS) konsisten dan teguh dengan pakatan rakyat dan kita anggap ini adalah bahtera baru yang kita bina dan perlu diperkukuhkan lagi bagi membuat perubahan dalam sistem demokrasi negara kita," tegasnya.
Hadi juga menekankan, tiada sebab untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gembur pihak tertentu.

"Tidak ada sebab untuk kita tinggalkan Pakatan Rakyat," tegasnya.Menyentuh mengenai kritikan yang dibuat oleh tokoh akademik terhadap kepimpinan beliau, beliau berkata kritikan tersebut merupakan perkara biasa dan diterima baik."Kita dengar kritikan tu secara biasa.Kita matang dengan kritikan.Kritikan ini ada yang benar, ada yang tak benar.Yang benar kita ambil, yang tak benar kita jawab," ujarnya.

Seminar yang dihadiri 1,000 peserta dari seluruh negara itu mengundang dua tokoh akademik sebagai ahli panel iaitu pensyarah dari Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti. 

Related Posts with Thumbnails