Dipetik daripada Free Malaysia Today
Zaid Ibrahim adalah seseorang yang berani berterus-terang, satu ciri yang tidak disenangi ramai yang sudah terbiasa dengan percakapan halus dan berbelit. Akan tetapi, sifat terus-terangnya kini telah membawa kepada peluang untuk menjadi wakil rakyat pembangkang yang kedua untuk Hulu Selangor.Zaid baru sahaja dengan rasminya dinamakan sebagai calon, hanya beberapa hari sebelum bermulanya tempoh berkempen yang rasmi. Justeru itu, ramai yang mungkin menyangka bahawa Zaid kini sibuk dengan pasukannya, merancang butiran-butiran terakhir untuk pelan kempennya.
Namun begitu, bekas peguam yang kini seorang ahli politik ini mengakui bahawa beliau tidak mempunyai sebarang strategi yang rumit atau canggih.
“Saya pernah menjadi seorang wakil rakyat sebelum ini,” kata Zaid dalam wawancara ekslusif dengan FMT, merujuk kepada penggalnya sebagai wakil rakyat untuk Kota Baru. “Strategi saya sekarang tidak berbeza dengan strategi saya yang dahulu: Mendengar luahan rakyat, dan menyelesaikan isu-isu mereka. Saya tidak perlu dijemput dengan paluan kompang. Saya hendak menang atas dasar kepercayaan rakyat terhadap keupayaan saya untuk berkhidmat untuk mereka, bukannya disebabkan janji-janji kempen saya semata-mata.”
Zaid memang dikenali sebagai seorang penyelesai masalah, dan beliau sudahpun mempunyai senarai masalah-masalah yang dihadapi rakyat Hulu Selangor yang ingin beliau tangani satu demi satu.
Senarai tersebut bermula dengan isu hak tanah, terutamanya bagi peneroka di skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan Orang Asli.
Beliau berkata bahawa peneroka Felda di Hulu Selangor telah merana untuk 30 tahun yang lepas kerana Felda sepanjang ini tidak berkongsi kekayaannya dengan mereka.
“Felda terbahagi kepada dua,” kata beliau. “Satu bahagian melibatkan 180,000 peneroka yang mengusahakan tanah, mendapat gaji bulanan, dan menerima dividen. Bahagian yang keduanya ialah muka korporat Felda, yang merupakan syarikat perladangan terbesar di dunia, dengan nilai RM50 billion. Masalahnya sekarang, tiada jambatan yang menghubungi dua bahagian ini.”
“Hampir 80 peratus peneroka Felda masih lagi meminjam duit daripada Felda untuk mengusahakan tanah kepunyaan Felda. Felda pula mengenakan pelbagai bayaran ke atas mereka, membuat penolakan daripada keuntungan yang mereka dapat, dan juga bersaing dengan mereka dalam aktiviti penjualan hasil tanaman mereka.”
“Akhirnya, peneroka hanya ditinggalkan dengan pendapatan kerdil RM1500 sebulan serta longgokan pinjaman. Ini tidak boleh diterima sama sekali.”
Hakmilik tanah untuk peneroka
Zaid melihat bahawa misi asal Felda, yang ditetapkan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak, adalah untuk memberikan tanah kepada golongan yang tidak pernah memilikinya, untuk diusahakan dan menjana pendapatan yang mencukupi. Namun demikian, Felda mula menyimpang daripada matlamat ini apabila Felda mula menceburi bisnes-bisnes lain.
“Felda adalah untuk rakyat,” tekan Zaid. “Apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Felda mestilah untuk kebaikan peneroka. Felda tidak boleh digunakan untuk menjana kekayaan untuk industri atau negara. Adakah peneroka mempunyai suara dalam pemilihan pelaburan Felda? Adakah mereka tahu bagaimana wang tersebut dibelanjakan? Adakah mereka berpuas hati dengan cara Felda diurus?”
“Persoalan pokoknya, kepentingan siapakah yang patut didahulukan – peneroka atau perniagaan? Mungkin ada sesetengah perkara yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kebajikan peneroka, tetapi tidak akan menambah keuntungan? Dan jika perniagaan Felda tidak diurus dengan baik, adakah patut peneroka yang perlu menghadapi padahnya?”
“Pengurusan Felda perlu lebih telus, dan suara peneroka perlu didengari hingga ke tahap tertinggi. Peneroka Felda tidak boleh dilihat sebagai pekerja biasa. Sebaliknya, mereka perlulah mendapat perwakilan yang sewajarnya, dan hak mereka semestinya diiktiraf, kerana Felda adalah untuk mereka.”
Zaid juga menjelaskan bahawa beliau akan mencadangkan penubuhan satu pasukan kerja khas yang dianggotai akauntan, peguam dan ahli ekonomi, untuk menilai semula segala operasi Felda secara keseluruhannya. Pasukan ini akan juga menggesa kerajaan negeri untuk menyediakan peluang perumahan dan pekerjaan untuk anak-anak peneroka generasi kedua, di samping memberi hakmilik tanah yang sudah lama dinanti-nantikan para peneroka.
Zaid akan mengetuai pasukan kerja ini, dan percaya bahawa beliau akan mempunyai pengaruh yang cukup ke atas kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini.
“Melihat Orang Asli pula, mereka bimbang kehilangan tanah mereka satu hari nanti, dan terpaksa dipindahkan,” kata Zaid lagi. “Saya telah memperjuangkan hak-hak mereka buat sekian lama, dan saya akan memastikan bahawa kebimbangan mereka akan didengari pihak kerajaan negeri.”
Salah satu rancangan yang lain dalam senarai beliau adalah untuk memberikan satu rangsangan yang amat diperlukan kepada ekonomi Hulu Selangor dengan membawa pelaburan masuk ke daerah tersebut. Beliau berkata bahawa Hulu Selangor sudah lama terpinggir, dan pembangunan ekonomi akan menjadi salah satu fokus utama beliau sekiranya beliau menang dalam pilihanraya kecil ini.
“Lebih banyak kilang perlu dibina untuk mengurangkan kadar pengangguran,” jelas beliau. “Dan sudah tiba masanya untuk institut pengajian tinggi yang sudah sekian lama disebut-sebut untuk dibina di kawasan ini.”
“Satu lagi masalah yang ketara ialah kekurangan perumahan. Terdapat terlalu banyak projek perumahan terbengkalai di Hulu Selangor, terutamanya di Hulu Bernam, dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan seberapa banyak projek tersebut yang mungkin.”
Dimensi nasional
Menyentuh tentang isu kebajikan dan kewarganegaraan pula, Zaid menegaskan bahawa masalah-masalah yang berkaitan isu ini tidak boleh diterima. Walau bagaimanapun, beliau berfikiran bahawa masalah-masalah ini disebabkan kepincangan pentadbiran semata-mata, dan tidak patut dianggap mustahil untuk ditangani.
“Ini bukanlah masalah-masalah baru,” kata beliau lagi. “Walaupun kami tidak boleh menyediakan penyelesaian serta-merta, kami boleh mula bergerak untuk mencapai penyelesaian jika kami lebih terbuka dan mesra rakyat, serta meletakkan pekerja yang bagus dan tekun di pejabat daerah, bagi memberikan khidmat terbaik untuk rakyat. Pejabat daerah memang mampu menyenangkan hidup rakyat, dan saya sendiri akan memastikan ini berlaku.”
“Akan tetapi, banyak antara isu-isu ini adalah berkait dengan pentadbiran di peringkat persekutuan. Malangnya, kami bukan kerajaan persekutuan. Jadi, hasil usaha kami akan terbatas. Misalnya, kami tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan.”
“Namun, kami masih boleh dan sememangnya akan membentangkan isu-isu ini kepada kerajaan persekutuan, dan sentiasa menekan mereka untuk mengambil tindakan sewajarnya.”
Zaid juga pasti bahawa jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat Hulu Selangor, khidmat yang boleh beliau sumbangkan bukanlah terbatas kepada daerah tersebut sahaja. Pada pandangan beliau, setiap isu tempatan turut mempunyai dimensi nasional. Oleh itu, wakil rakyat yang berhemah adalah seseorang yang boleh membantu memenuhi keperluan kawasannya sendiri, dan pada masa yang sama, turut mampu membahaskan dan menggubal dasar-dasar yang penting untuk negara. Beliau sememangnya percaya bahawa dirinya mampu menyahut cabaran tersebut.
Zaid, yang juga penyelaras Pakatan Rakyat, tentunya sedar bahawa sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor, tugas beliau akan penuh kesukaran. Beliau bukan sahaja akan perlu menangani pelbagai masalah yang berlarutan, tetapi juga dikehendaki supaya lebih timbul di mata penduduk yang diwakilinya, berbanding dengan wakil rakyat sebelumnya. Namun, Zaid tidak risau akan bebanan ini.
“Saya sedar bahawa memang banyak yang perlu saya lakukan,” kata Zaid. “Akan tetapi, saya percaya bahawa rakyat Hulu Selangor memahami masalahkesihatan Allahyarham Zainal Abidin Ahmad, dan tidak akan menghukum kami kerana keadaan beliau. Sememangnya rakyat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap kami, tetapi jangkaan mereka masih realistik.”
“Saya bukanlah ahli perniagaan yang berjaya, dengan bisnes yang besar. Dan saya tidaklah memegang jawatan pengarah dalam 20 buah syarikat. Saya seorang ahli politik sepenuh masa. Dan saya akan bertungkus-lumus berkhidmat 100 peratus demi penduduk Hulu Selangor.”











No comments:
Post a Comment