Monday, April 19, 2010

Muslimat PAS minta ketua wanita MCA dicontohi

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 19 April: Muslimat PAS meminta semua wanita di negara ini menjadikan bekas ketua wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai contoh kerana sanggup melepaskan jawatan atas prinsipnya yang enggan berketuakan seorang yang bermoral rendah dan terlibat dengan skandal.

Ketua Penerangannya, Salbiah Abdul Wahab berkata, ketegasan ketua wanita MCA itu patut menjadi contoh.

"Meningkatkan keperibadian adalah pra-syarat kemenangan di dalam perjuangan. Allah akan memberi kemenangan kalau kita berusaha.

"Datin Paduka Chew Mei Fun telah sanggup meletakkan semua jawatan beliau dalam kerajaan dan sebagai pimpinan Wanita MCA kerana tidak boleh menerima pemimpin yang terlibat dengan skandal sebagai pemimpin MCA," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily bagi mengulas persiapan wanita Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Mei Fun baru-baru telah meletakkan jawatan sebagai ketua wanita MCA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia selepas Datuk Seri Chua Soi Lek, yang terlibat dengan hubungan seks dengan bukan pasangannya sehingga divideokan, menang pertandingan merebut jawatan Presiden MCA.

Dalam pada itu, Salbiah mahu Wanita Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP berganding bahu dan bijak mengatur strategi dalam usaha memenangkan calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor.

Katanya, muslimat PAS harus meningkatkan iltizam dengan jemaah, Wanita Keadilan dan DAP juga perlu meningkatkan keperibadian mereka mengikut kehendak parti masing-masing.

"Wanita Pakatan Rakyat mesti bijak mengatur langkah agar langkah-langkah kita seterusnya kematangan, kesepakatan dan kerjasama kita dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum di negara ini," katanya.

Salbiah juga berkata, Wanita Pakatan Rakyat turut memainkan peranan penting untuk mendedahkan kezaliman dan penyelewengan Kerajaan Umno/Bn kepada pengetahuan umum agar para pngundi di Hulu Selangor dapat membuat pilihan yang betul dan tidak terpedaya degan janji-janji kosong yang ditabut Umno/BN.

"Kita mesti mendedahkan kezaliman Umno/BN. Penyelewengan mereka mesti diketengahkan kepada pengetahuan umum. Keamanan negara yang diserahkan kepada orang luar, bermakna mereka tidak mampu menjaga negara ini.

"Maka di pilihanraya kali ini, rakyat mesti berani, terus melangkah bersama pemimpin Pakatan Rakyat untuk mengubah dan merebahkan pemimpin Umno/BN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails