Kerdau dihuni masyarakat kampung, mereka hidup rukun damai tanpa mengira parti.
PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan mana-mana penceramah supaya tidak membangkitkan isu-isu sensitif sepanjang tempoh berkempen di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau.“Budaya orang Kerdau tidak suka kepada ceramah yang kasar dan memaki hamun, baik oleh orang tempatan apatah lagi orang luar. Kerdau merupakan masyarakat kampung, mereka hidup rukun damai sesama mereka tidak mengira parti.
“Jangan rosakkan keharmonian hidup mereka dengan budaya samseng dan ceramah-ceramah yang memaki hamun,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau ketika dihubungi hari ini.
Dalam PRK Kerdau, calon PAS Hasanuddin Salim menentang calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad. Hari mengundi ialah pada 6 Mac ini.
Tuan Ibrahim berkata, penceramah perlu mengelak daripada membuat provokasi bagi menghindar daripada terjadi kejadian yang tidak diingini.
Katanya, setakat ini semua ceramah baik oleh Pakatan Rakyat atau BN berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan. PAS memberi tumpuan khusus kepada pengundi di kawasan tanah rancangan Felda yang dianggap tidak mendapat `keuntungan sewajarnya.’
Bagaimanapun, tokoh PAS Pahang itu menegaskan masih terlalu awal untuk meramalkan parti mana yang akan menang.
Kecenderungan pengundi
“Kita hanya dapat melihat kecenderungan pengundi, dua hari sebelum hari mengundi Ahad ini,” katanya.
Sementara itu, Tuan Man berkata, pihaknya belum lagi mengemukakan permohonan kepada polis Jerantut untuk mengadakan ceramah di Kerdau.
Ini kerana katanya, sebahagian besar kawasan Kerdau berada di bawah pentadbiran polis Maran.
“Hanya beberapa tempat sahaja yang berada di bawah polis Jerantut tetapi PAS belum mengadakan ceramah di tempat tersebut.
“Jadi kita (PAS) belum memohon permit di kawasan berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Jerantut Supt Jamaluddin bahawa setakat ini PAS belum memohon sebarang permit untuk mengadakan ceramah di Kerdau.











No comments:
Post a Comment