KUALA LUMPUR, 16 Feb — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata partinya berhasrat untuk bertanding lebih kerusi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat.Tambah Mahfuz, pada pilihan raya negeri Sarawak lalu PAS hanya bertanding di Beting Maro tetapi tewas.
“PAS dah tanding (2006), sekarang dalam proses rundingan dan perbincangan untuk tentukan jumlah kerusi.
“Ya, kita harap dapat bertanding lebih dari satu, paling tidak mempertahankan status quo yang kita tanding,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Mahfuz (gambar) yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata Pakatan Rakyat Sarawak kini masih dalam perbincangan untuk menentukan parti mana yang akan bertanding.
“Kita serahkan kepada Pakatan Rakyat Sarawak untuk berbincang, kalau tidak boleh baru Pakatan Rakyat pusat akan bincang,” katanya.
Ditanya kemungkinan Pakatan Rakyat akan menjalin kerjasama dengan parti politik tempatan di Sarawak, Mahfuz berkata ia akan dibincangkan sekiranya perlu.
“Kita akan bincang kalau ada keperluan, jadi kita harap setiap parti lebih terbuka kerana yang penting adalah kemenangan.
“Kalau ada keperluan kita akan bincang dengan parti-parti tempatan di Sarawak,” katanya.
Pada pilihan raya negeri lalu, Barisan Nasional (BN) menguasai 63 kerusi dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) 12 dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.
Enam lagi kerusi dikuasai oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), melalui wakil rakyat Bebas, masing-masing satu kerusi.
Mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat Julai ini.











No comments:
Post a Comment