Wednesday, October 20, 2010

India tetap mahu wakil rakyat PAS di Galas

Nazri Abdullah   
GUA MUSANG, 20 Okt: Kejayaan Allahyarham Chek Hashim Sulaima menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dun Galas, memberikan imej sangat positif kepada PAS secara keseluruhannya.
Sikapnya yang bertanggungjawab, suka turun padang, menyelami denyut nadi rakyat membuatkan semua kaum di Dun itu percaya bahawa wakil PAS lebih boleh diharap dari BN.
Seorang wakil masyarakat India, Raman a/l Palam, 58, (gambar) turut mengakui Allahyarham Chek Hashim berjaya menukar paradigma masyarakat India yang selama ini menyokong bulat-bulat Umno BN.
Menurutnya, biarpun baru dua tahun, PAS melalui allahyarham menerajui Galas, sikap Chek Hashim yang 'buat kerja bukan cakap kosong' sangat disenangi hampir 200 masyarakat india di sini.
"PAS punya YB ni banyak tolong sama kita, bagi bantuan pada orang tua, ibu tunggal semua dia bagi.


"Umno dulu dia macam ni. Lepas datang tengok, mesyuarat, dia kata dia akan buat, lepas tu tak ada buat. Tengok kita pun tak ada.
"YB PAS ni sekali sahaja saya undi, dia dah tolong," katanya yang kini senang bekerja sendiri.
Tambahnya lagi, untuk bertemu Allahyarham Chek Hashim juga tidak banyak protokol mahupun birokrasi.
Sesiapa sahaja masyarakat di sini katanya boleh menghubungi beliau pada bila-bila masa untuk menceritakan masalah.
" Satu hari saya call sama dia, bagitahu kita orang India mahu buat sembahyang.
"Dia terus tolong kita, dia bagi khemah dan kerusi untuk kita.
"Kita memang sangat senang sama dia," katanya menceritakan pengalaman berurusan dengan Allahyarham Chek Hashim.
Oleh sebab itu jelasnya lagi, pemergian allahyarham sangat dirasai masyarakat Galas termasuk kaum India.
Berdepan Pilihan Raya Kecil Galas 4 November ini, beliau berkata undi masyarakat India tetap kepada calon PAS.
Menurutnya, hanya PAS mampu menyelami permasalahan kaum mereka dengan baik, serta menghormati mereka sama seperti kaum-kaum lain di sini.
"Kita mahu PAS jadi YB kita. Kita mesti tolong PAS. PAS dah banyak tolong sama kita," jelasnya.
Chek Hashim Sulaima meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus.
Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.
Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.
* Siri ketiga akan mendekati orang kuat di belakang Allahyarham Chek Hashim Sulaima, selama beliau sakit.
Siri Pertama

Cina kumpul duit bantu Chek Hashim berubat di China
Nazri Abdullah   

GUA MUSANG, 18 Okt: Biarpun hanya sempat dua tahun lebih bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), namun nama Allahyarham Che Hashim Sulaima tidak lekang dari bibir masyarakat Galas.
Sikapnya yang bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.
Tidak hairanlah jika rata-rata masyarakat sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli sangat sayang kepada Adun PAS tersebut.
Menurut Penghulu Kampung Bandar, Chong Loi San, 60, (gambar)Allahyarham Chek Hashim seorang yang mudah didampingi dan tidak pernah berlagak seperti seorang Yang Berhormat.
"Saya kenal dia lebih 20 tahun, dia orang bagus, bukan senget-senget punya.
"Dia dulu jual rotan, saya beli dengan dia buat niaga kerusi.
"Dia suka tolong sama kita. Pagi ke, petang ke, malam ke, bila kita panggil dia mesti sampai.
"Banyak kaum Cina undi dia sebab dia mudah kira," ceritanya menggambarkan peribadi Allahyarham semasa hayatnya.
Tambah Chong lagi, beliau mengenali bekas Adun Galas itu seorang yang pemurah dan melayan masyarakat berbilang kaum di kawasannya dengan adil.
Antara jasa paling besar Allahyarham katanya, adalah menyelesaikan masalah geran tanah kepada masyarakat Dun itu.
"Kita Cina, India, Melayu Gua Musang bukan nak kaya sangat, kita nak tanah ada geran dan YB ni banyak bantu kita dapatkan geran," tambahnya lagi.
Kehilangan Allahyarham jelasnya sangat dirasai kaum Tionghua Gua Musang yang banyak terhutang budi pada beliau.
"Dia meninggal memang orang Cina sayang sangat. Waktu dia sakit, kita orang Cina kumpul duit nak bawa dia pergi berubat dekat negeri China.
"Saya sendiri suruh sepupu saya teman dia pergi sana sebab Chek Hashim tak tahu cakap Cina," katanya.
Biarpun hanya dua tahun Allahyarham sempat menjadi wakil rakyat mereka, namun tempoh itu katanya sudah cukup membuktikan Adun PAS boleh diberi mandat.
"Kalau YB PAS memang tidak ada masalah. Dia tolong kita, dan kita mesti tolong dia," ujarnya menggambarkan sokongan.
Chek Hashim Sulaima meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus.
Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.
Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.
Siri kedua akan menyentuh bagaimana akrabnya Allahyarham Chek Hashim dengan masyarakat India.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails