Presiden Pas, Hadi Awang berkata corak kempen untuk pilihan raya kecil DUN Galas berbeza dengan Manek Urai kerana ia lebih bergantung kepada isu tempatan dan sosio-budaya setempat.
"Corak kempen sudah tentunya berbeza bergantung pada sosiobudaya dan isu tempatan. Di Galas kita mengambil kira faktor masyarakat seperti Tiong Hua dan orang Asli untuk berkempen. Ia juga berbeza kerana Galas adalah kawasan pecan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Briged Muslimah Malaysia yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, semalam.
Semalam,Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan untuk menerima jawatan pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas tetapi belum membuat keputusan ada akan menjadi calon.
Hadi berkata, Pas senantiasa terbuka dan bersedia berdepan dengan mana-mana calon dalam pilihan raya itu sekali gus menepis dakwaan parti itu merasa tertekan dengan tindakan Ku Li bersetuju mengetuai kempen Umno.
"Kita sudah buat keputusan untuk bertanding. Jika Datuk Seri Najib Razak jadi calon Galas pun kami akan bertanding," katanya.
Dalam pada itu, Briged Muslimat yang ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan bergerak aktif ke seluruh negara bagi memberikan kefahaman politik kepada golongan wanita muda.
Mengikut Harakah Daily, Ketua DMPP, Nuridah Mohd Salleh berkata, penubuhan Briged Muslimat ini, tenaga kerja wanita muda dalam PAS akan digunakan secara tersusun bagi memberi fokus untuk mendekati pengundi wanita.
"Penglibatan dalam Briged Muslimat ini melangkaui bangsa dan kaum asalkan mereka berminat dan bersungguh-sungguh untuk membantu PAS dalam usaha menarik golongan wanita muda untuk menyokong dan seterusnya menjadi ahli PAS," katanya.
Nuridah juga berkata, penubuhan Briged Muslimat ini membuktikan bahawa DMPP memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada muslimat muda untuk memberikan sumbangan kepada parti.












No comments:
Post a Comment