Saturday, February 13, 2010

KORBAN PERTAMA PROGRAM PAS PANDAN - YB ISKANDAR

Seorang petugas sukarela telah meninggal dunia apabila jatuh dari sebatang pokok ketika memasang tanglung sempena program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina saya bersama JKP Zon 15, 16, 17, 18 dan 19 MPAJ.
 
Beliau telah jatuh dari pokok minggu lepas dan mendapat kecederaan tulang belakang. Setelah dibedah di HKL beliau telah dihantar balik rumah tetapi keadaan beliau menjadi tenat dan akhirnya dibawa ke Hospital Ampang pada hari Selasa.

Akhirnya pada hari Rabu, doktor memberitahu beliau tidak dapat diselamatkan kerana otaknya telah mati dan keluarganya bersetuju untuk mencabut segala bantuan pernafasan dan membawa beliau pulang.

Saya telah melawat beliau kali pertama di Hospital Ampang sebelum mesyuarat Exco jam 2 petang. Keluarga beliau sedang menunggu ambulan sebelum membawa beliau pulang. Saya tidak berkesempatan melawat beliau sebelum ini kerana berada di Sabah sepanjang hujung minggu hingga ke hari Isnin.

Selepas mesyuarat Exco saya diberitahu oleh seorang Exco bahawa petugas itu telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun ketika di dalam perjalanan pulang saya mendapat SMS dari seorang ahli Majlis MPAJ bahawa beliau masih hidup.

Tetapi pada petang Khamis saya mendapat SMS dari ahli Majlis yang sama bahawa beliau telah meninggal dunia pada jam 3 petang.

Malam tersebut saya tidak sempat melawat kerana terpaksa menghadiri pertemuan dengan wakil-wakil pembeli sebuah projek terbengkalai dan selepas itu terpaksa berjumpa dengan seorang ADUN.
Mungkin saya sepatutnya memberi lebih perhatian kepada petugas yang telah memberi nyawa untuk membantu saya dan tidak mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pembeli itu kerana masalah yang dihadapi oleh mereka masih kusut walaupun diadakan pertemuan.
Hanyalah pada jam 7.30 pagi hari Jumaat saya dapat melawat. Saya diberitahu oleh keluarga beliau bahawa beliau akan dikebumikan pada jam 2 petang.

Tetapi siapakah petugas ini yang telah memberikan nyawa untuk menjayakan program seorang ADUN PAS?

Adakah ia seorang AJK PAS Kawasan? Adakah ia seorang Ketua PAS Cawangan? Adakah ia seorang Pemuda PAS? Adakah ia seorang Ustaz?

Sebenarnya dia bukan seorang ahli PAS. Malah dia bukan seorang Islam. Namanya Chia Fook dari Kg. Baru Ampang. Peti undi kampung Cina itu saya menang dalam PRU12.

Kadang kala apabila kita hendak membuat program, ada Cawangan-Cawangan dan ahli-ahli malah AJK sendiri yang keberatan hendak turun membantu.

Tetapi dengan pemergian Uncle Chia yang bersungguh-sungguh turun membantu menjayakan program kita, malulah kalau ada di antara ahli PAS, orang Islam yang memberikan bermacam-macam alasan apabila dikerah untuk turun.

Iskandar A. Samad
13 Februari 2010



Gambar atas : Isteri Uncle Chia sedang bercakap dengan saya melalui telefon. Ketika itu saya di Kota Kinabalu.

Gambar bawah : Wakil-wakil PAS Kawasan Pandan di rumah Uncle Chia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails