Saturday, June 4, 2011

PAS boleh tadbir negara tanpa bebankan rakyat

Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 3 Jun: PAS percaya perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

Sebaliknya, PAS yakin keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedahm

Menurut beliau, selain itu, PAS juga pernah memperkenalkannya di Terengganu dan Perak dan turut memperkenaljannya di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan.

"Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang telah kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat.

"Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama 20 tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan.

"Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar PAS Ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam negara berkebajikan yang ingin diperkenalkan oleh PAS, menurut beliau, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.

Katanya, PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaab Umno BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat.

3akyat yang berniaga pula, katanya, terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu.

"Manakala kerugian perniagaan  pula ditanggung kerajaan yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata.

"Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan," tegasnya.

Berbeza dengan negara kebajikan yang ingin dicapai oleh PAS, katanya, yang bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata.

Ini kerana, tegas beliau, kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya meliohat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini, tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita.

"Negara yang kita mahu ialah yang menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita.

"Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita, apatah lagi ia mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain.

"Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini," katanya.

Negara berkebajikan juga, tegasnya, melaksankan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman.

"Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat," katanya.

Kaeadah perundangan Islam, tegas beliau, menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya.

Seseorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman.

"Islam menggalakkan orang yang bersalah bertaubat dan membuat penyelesaian di luar mahkamah kerana balasan bukan sahaja di dunia, bahkan ada lagi balasan dalam kubur dan selepasnya.

"Kalau terlepas di dunia tanpa bertaubat, Islam membuktikan wujudnya keamanan dengan kehebatan undang-undang yang adil, bukan menakutkan rakyat dengan undang-undang yang zalim," ujarnya.

Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-lumba mendapat pahala.

"Umno BN telah melemahkan dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajiakan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat," katanya.

Bagi melaksanakan tujuan tema itu, katanya, PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus tadbir ekonomi dan memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan.

"Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails